Tadi aku buka tingkap, sambil memegang sebatang rokok aku lihat ke luar.
Sepi dan udara menyamankan, baru lepas hujan.
Adalah terdengar bunyi cengkerik dan aku terbau asap umpama asap bakaran sampah.
Lalu aku terkenang suatu masa dulu, sewaktu aku masih kecil. Bau dan bunyi yang aku rasa itu saling tak tumpah macam kampung arwah datuk sebelah ayah.
Kadang-kadang kami balik malam, bila kereta sampai dan kami keluar cengerik-cengkerik itulah yang akan menyambut dan sayup-sayup terbau sisa-sisa asap dari sampah yang arwah datuk bakar masa petang tadi.
Kalau aku menoleh kebelakang, akan nampak cahaya-cahaya suram dari rumah berdekatan tapi untuk ke sana agak menakutkan kerana jalannya gelap, mungkin terlanggar kayu atau kaki kebasahan akibat becak.
Aku suka suasana itu, kerana aku tahu arwah datuk pasti tersenyum dengan barisan gigi yang kebanyakkannya sudah tidak ada bila melihat kami datang. Bersarungkan kain pelikat dia akan bercekak pinggang sebelah kiri sambil bersandar di ambang pintu.
Arwah mak su, mak mi dan arwah mak jai pun seronok sebab ada mangsa untuk mereka sakat. Kalau emak izikan, aku akan tidur bersama mereka, bertilamkan tilam kekabu dan selimut berbenang nipis.
Sebelum tidur, pasti ubat nyamuk berlingkar hijau akan dinyalakan, baunya menusuk satu bilik. Tapi hati-hati jangan sampai terpijak.
Arwah mak jai pandai bergaya, bila pagi tiba aku mesti akan tertunggu-tunggu dia bersiap untuk melihat baju dan dandanan apa yang akan di pakai untuk ke pejabat. Aku selalu berangan, kalau aku besar nanti, aku pun inginkan anting-anting dan baju-baju cantik seperti arwah mak jai.
Malam di situ memang indah, walaupun tak ada apa. Kadang-kadang aku teman arwah datuk menonton rancangan kegemarannya, Hikayat Hang Setia, terkekeh-kekeh arwah datuk gelak, aku sengih-sengih saja sebab tak faham. Kemudian aku akan sama-sama mendengar pilihan bersama dengan arwah maksu di radio.
Kecintaan aku dengan rock kapak memang bermula dari pengaruh arwah maksu. Aku, aie dan arwah maksu akan sama-sama menghafal lirik lagu yang kami dengar. Entah untuk apa pun aku tak tahu tapi yang pasti aktiviti itu amat menyeronokkan.
Sebelum tidur, kami akan minum air dulu dan kemudian ke tandas. Sejuk benar rasa bila tapak kaki mencecah simen dapur, apa lagi bila masuk ke bilik air.
Zaman yang serba ringkas tapi cukup indah.
Ah malam dingin, engkau membuat aku rindu!
(4 vote[s])

(Click to vote)







